BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

pengurusan marah







Saya pernah berasa marah yang teramat sangat beberapa tahun yang dulu sehingga tahap memaki hamun dan sebagainya. Tetapi Alhamdulillah masih di dalam kawalan di mana tidak sampai bertumbuk dan bergaduh.
Itu beberapa tahun dahulu. Sehingga kini marah-marah kecil tetap ada terutama geram kepada pemandu-pemandu yang ramai tidak mempunyai EQ iaitu memahami perasaan orang lain. Dengan kata lain yang susah sangat untuk bertolak ansur.
Sesetengah orang mudah untuk marah. Ada yang sehingga tahap marah yang mampu mendorong kepada tindakan fizikal yang luar kawalan. Ini amat membimbangkan.
Alhamdulillah, perasaan marah mampu dikawal dengan mudah dan kesannya cukup pantas untuk kembali bertenang.
***Apakah yang biasa disarankan ketika kita sedang marah?
Bersabar? Persoalannya bukan mudah untuk bersabar. Bersabar adalah satu perasaan yang berlawanan dengan marah. Mana mungkin dalam keadaan kita marah, kita boleh bersabar. Lalu bagaimana?
Bagaimana saya mengawal kemarahan?
Saya telah membiasakan diri untuk tidak lagi melakukan “mind chat” atau bercakap dengan akal fikiran saya sendiri. Segala apa yang saya lakukan, saya fikir, saya dengar, saya rasa, saya lihat, akan saya cakapkan kepada Allah SWT.
Ketika saya marah, saya akan bercakap pada Allah segala apa yang saya rasa ketika itu. Saya tidak melawan rasa marah saya. Tetapi saya luahkan rasa marah saya pada Allah. Allah itu Maha Positif. Saya yakin dengan meluahkan rasa marah pada seseorang dengan berkomunikasi kepada Allah, Allah akan berikan kesabaran kepada saya. Saya tidak perlu melawan marah untuk sabar. Tetapi rasa sabar itu dianugerahkan Allah terus ke dalam jiwa saya dengan luahan yang saya lakukan.




Ketika kita marah seseorang, adalah sesuatu yang amat penting untuk kita memalingkan muka kita ke arah lain. Rasulullah SAW telah berpesan agar kita  memalingkan muka kita ketika kita marah.
Kenapa? Apabila kita marah, kita berada di fikiran bawah sedar di mana fikiran tidak dapat mengawal diri. Ketika ini, jika kita marah sambil melihat muka orang yang kita marah (seperti contoh anak atau isteri/suami) kita telah menanamkan wajah mereka sebagai orang yang membuatkan kita marah tanpa disedari. Kita telah memprogramkan fikiran kita tanpa sedar.
Maka setiap kali melihat wajah mereka, walaupun pada ketika itu kita tidak marah, ia boleh membawa kita kepada perasaan marah disebabkan informasi yang telah tersimpan menyatakan bahawa kita mesti berasa marah apabila melihat wajah mereka.
Kerana itu Rasulullah SAW menasihatkan kita sejak beribu tahun yang dulu lagi untuk memalingkan muka ketika marah. Ada juga nasihat Rasulullah SAW meminta kita duduk ketika marah. Semuanya adalah berkaitan dengan otak kita.
***
Komunikasi dengan Allah mampu mententeramkan jiwa saya daripada perasaan marah disamping saya dapat mengelakkan diri dari sakit migrain atau sakit jantung.
Praktikkan komunikasi dengan Allah apa yang dilakukan, difikirkan, didengarkan, dilihat, dicakapkan dan lain-lain. Jika kita berada di dalam situasi apa pun, perkara pertama dan utama yang kita ingat adalah komunikasi dengan Allah walaupun ketika tindakan luar kawal seperti perasaan marah jika kita biasa menggantikan ‘mind chat’ kita kepada komunikasi dengan Allah.