BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

marah kunci keburukan

BIASANYA, apabila sesuatu perkataan itu disebut atau diperintahkan berkali-kali, ia menunjukkan pentingnya arahan tersebut diingat dan dilaksanakan.

Dalam hal ini, berulang kali Rasulullah s.a.w. mengingatkan umatnya “jangan kamu marah”.
Peringatan ini tidak bermaksud menyuruh kita melenyapkan sama sekali rasa marah, tetapi hanya sekadar mengawal dan mengendalikannya dengan baik.
Ini kerana marah merupakan salah satu sifat semula jadi manusia yang sukar dihapuskan.
Pesan baginda lagi, “Jauhilah kemarahan itu kerana ia merupakan bara api yang bernyala-nyala dalam hati anak Adam.”
Kemarahan diibaratkan api yang sedang menyala dan menjulang tinggi dalam lubuk hati seorang manusia, yang biasanya tergambar pada air mukanya, dengan mata yang merah, urat-urat muka yang tegang dan badan yang gementar geram.
Dalam kitabnya Ihya Ulumiddin, Imam Ghazali menjelaskan bahawa budi pekerti yang buruk dan sifat-sifat tercela dalam agama, merupakan salah satu sebab timbulnya kemarahan, seperti rasa kagum terhadap diri sendiri, sombong dan sebagainya.
Seterusnya sifat yang buruk ini juga menjadi punca timbulnya berbagai-bagai perkara yang tidak diingini.
Ini disebabkan orang yang mengikuti nafsu marahnya, biasanya tidak dapat diajak berunding dan tidak mahu bertolak ansur.
“Marah adalah kunci daripada segala keburukan,” kata seorang sahabat Rasulullah s.a.w. mengingatkan.
Mereka juga termasuk dalam golongan yang terkena tipu daya syaitan dan selalu berhubungan erat dengannya, kerana syaitan adalah makhluk yang diciptakan Allah s.w.t. daripada api.
“Engkau (ya Tuhan) menjadikan aku daripada api”. (Al-Araf ayat 12).
Sebaliknya orang yang dapat mengawal rasa marah, akan dapat pula membentuk budi pekerti yang baik kerana mengawal kemarahan itu sendiri memerlukan kesabaran, kerendahan hati, perasaan bertolak ansur dan pelbagai sifat terpuji lainnya.
Berhubung dengan hal ini Abu al-A’la menceritakan tentang seorang lelaki yang menemui Rasulullah s.a.w.
Pada mulanya ia datang dari hadapan baginda dan bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah amalan yang paling utama?” Baginda menjawab: “Budi pekerti yang baik.” Lelaki itu bertanya pula dari sebelah kanan: “Apakah amalan yang paling utama.” “Budi pekerti yang baik,”jawab baginda.
Ia bertanya lagi dari sebelah kirinya: “Apakah amalan yang paling utama.” Jawab baginda: “Budi pekerti yang baik.” Tetapi lelaki tersebut tidak puas hati dan bertanya lagi dari belakang baginda: “Apakah amalan yang paling utama?” Baginda pun menjelaskan: “Apakah kamu masih belum faham. Budi pekerti yang baik itu ialah kamu dapat mengawal rasa marah sedaya upaya kamu.” (Hadis daripada Abu al-A’la)
Sifat marah yang terdapat dalam diri setiap manusia tidak sama tahap dan tingkatannya.

Menurut Imam Ghazali, ada tiga golongan manusia dalam hali ini:

1. Orang yang tidak mempunyai rasa marah sama sekali
Orang yang termasuk dalam golongan ini biasanya tidak mempunyai sikap dan semangat untuk membela atau mempertahankan harga dirinya, keluarganya serta apa sahaja yang menjadi haknya. Apalagi untuk kepentingan agamanya.
Sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan rasul-Nya supaya bersikap tegas dan keras terhadap orang-orang kafir dan mereka yang cuba mempermainkan dan menghina agama-Nya.
Orang yang terlalu lemah daya marahnya, akan merasakan dirinya rendah dan kecil. Ia tidak mempedulikan sebarang kemungkaran yang berlaku di sekelilingnya.
Jelasnya, dalam keadaan tertentu, marah itu diperlukan kerana orang yang hilang sama sekali sifat marahnya akan hilang pula sifat pembelaannya.
Mengenai hal ini Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah r.a.: “Belum pernah sekalipun aku melihat Rasulullah s.a.w. membela diri daripada penganiayaan yang dialaminya, selagi ia tidak melanggar larangan-larangan Allah. Tetapi apabila ada sesuatu yang melanggar larangan Allah, baginda adalah orang yang paling dahsyat kemarahannya.”

2. Orang yang tidak dapat mengawal kemarahannya
Kebalikan daripada sifat golongan pertama tadi ialah orang yang tidak dapat mengendalikan nafsu marahnya.
Ia terlampau melayan perasaan marahnya tanpa batas, sehingga tidak dapat menggunakan akal sihatnya untuk mempertimbangkan segala sesuatu.
Dalam menghadapi semua masalah, ia seolah-olah merasa terhimpit dan terdesak. Akibatnya ia tidak pernah berfikir dan bertindak dengan kepala yang dingin dan bersih.
Inilah orang yang terperangkap dalam pelukan syaitan.

3. Orang yang dapat mengendalikan kemarahannya
Golongan ketiga ini merupakan gabungan daripada golongan pertama dan kedua, iaitu mereka yang menyalurkan rasa marahnya dalam keadaan-keadaan yang diperlukan.
Ia dapat mengawalnya supaya selalu berada di tahap pertengahan, tidak lenyap sama sekali dan tidak melepaskannya tanpa batas.
Hal ini sebagaimana selalu diingatkan oleh Rasulullah s.a.w.: “Sebaik-baik perkara ialah yang pertengahan (sederhana).” (Riwayat Baihaqi)
Daripada tiga golongan di atas, golongan ketiga merupakan golongan manusia terbaik.
“Sesiapa yang menahan kemarahannya, maka Allah akan menahan seksaan ke atasnya,” pesan Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam at-Thabrani dan Baihaqi
Mengenai hal ini Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada para sahabat: “Siapakah orang yang paling kuat?” Mereka menjawab, “Orang yang dapat mengalahkan orang lain.” Baginda menjelaskan kepada mereka, “Bukan, orang yang kuat ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w. mengajarkan tiga cara meredakan kemarahan yang sedang meluap-luap:

1. Membaca ta`awwuz
Kemarahan itu datangnya daripada syaitan. Oleh kerana itu untuk menghilangkan gangguan syaitan, kita disuruh meminta perlindungan Allah s.w.t. yang telah menciptanya.
Ta`awwuz ataupun memohon perlindungan Allah, yang paling ringkas ialah dengan membaca “a`uzubillahi minas syaithanir rajim (aku mohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk)

2.Berdiri, duduk dan berbaring
Ketika api kemarahan sedang menguasai orang yang sedang berdiri, ia dinasihatkan duduk untuk menenangkan fikirannya dan meredakan kemarahannya.
Sekiranya selepas ia duduk, kemarahannya tidak juga hilang, Baginda menyuruhnya berbaring, merehatkan badan dan fikiran.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang diceritakan oleh al-Ghifari dan para sahabat yang lain: “Apabila seorang di antara kamu marah dalam keadaan berdiri, duduklah supaya hilang kemarahannya. Sekiranya belum juga hilang kemarahannya, berbaringlah.”

3. Mengambil air sembahyang
Syaitan dicipta oleh Allah daripada api, dan api dapat dipadamkan dengan menyiramkan air padanya.
Oleh kerana itu baginda bersabda: “Kemarahan itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api. Sedangkan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu apabila kamu marah segeralah berwuduk.”
Akhirnya, Imam Ghazali berpesan: “Kemarahan manusia itu bermacam-macam. Sebahagiannya lekas marah, lekas tenang dan lekas hilang. Sebahagiannya lagi lambat marah dan lambat pula redanya. Tapi sebahagian yang lain, lambat marah dan lekas pula hilangnya. Orang yang terakhir, ialah orang yang terpuji.”